HOME | SECURITY DIVISION
article
Vaksin COVID-19 Ikhtiar Halang Mudarat Lebih Besar
Pihak kerajaan telah mengumumkan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus, manakala penggunaan oleh golongan ditetapkan kerajaan seperti warga emas serta petugas barisan hadapan pula adalah wajib. Namun, isu halal haram dan keselamatan vaksin yang dijangka diterima Malaysia pada suku pertama tahun depan masih dibangkitkan. Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan pandangan Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof Madya Dr Mohd Ruslan Mohd Noor dan Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh mengenai pandangan Islam serta sains kesihatan berhubung vaksinasi. Prof Madya Dr Mohd Ruslan Mohd Noor S: Bagaimana untuk memberi kefahaman kepada orang awam, khususnya umat Islam mengenai hukum harus dan wajib dalam isu pengambilan vaksin COVID-19? J: Harus bermaksud hukum penggunaan vaksin itu dibolehkan dalam Islam, tidak menjadi masalah mengambilnya. Wajib pula bermaksud ia mesti diambil golongan yang ditetapkan kerajaan, tidak boleh menentang arahan. Ini terutama bagi golongan petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi. Ini adalah ikhtiar kita bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus COVID-19. S: Apa pendirian PUM terhadap kumpulan anti-vaksin yang masih mempertikaikan vaksin COVID-19? J: Kami menyokong penuh keputusan muzakarah (Majlis Fatwa), kami menolak pandangan golongan anti-vaksin itu kerana ia mendedahkan manusia kepada mudarat lebih besar. Menghalang mudarat lebih besar (jangkitan virus COVID-19 yang boleh membawa maut) adalah wajib. S: Bolehkah umat Islam menolak vaksin kerana was-was dengan kandungannya? J: Muzakarah memutuskan ia adalah harus. Jadi, bagi golongan awam, mereka boleh mengambil vaksin itu, namun bagi golongan diwajibkan pemerintah, mereka wajib patuh dan wajib mengambil vaksin ditetapkan. Tidak boleh membiarkan virus itu merebak tanpa ikhtiar daripada kita. Mendedahkan diri kepada mudarat itu adalah haram. Kita wajib keluar daripada kemudaratan. Hadis Nabi SAW sewaktu virus taun melanda, jelas sebagai isyarat kepada kita untuk menangani apa juga pandemik dengan bijak. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Jika kamu mendengar taun melanda sesuatu tempat, maka janganlah masuk ke dalamnya. Yang berada di dalamnya jangan keluar". S: Bagaimana PUM menghadapi isu halal haram berkaitan produk perubatan dan kesihatan termasuk vaksin COVID-19? J: PUM meminta rakyat memahami bahawa keputusan dibuat terhadap vaksin ini atas nasihat mereka yang pakar. Ia membabitkan pakar bidang perubatan, kesihatan awam, saintis, pakar agama dan lain-lain untuk mencari penyelesaian terbaik. Oleh itu, umat Islam perlu mengikuti panduan dikeluarkan. Dalam bab agama pun, keputusan muzakarah membabitkan pandangan mufti dan ahli agama yang pakar serta mahir dalam bidang keagamaan. Oleh itu, ikutlah nasihat mereka, Insya-Allah, kita akan selamat. S: Apa yang perlu orang Islam faham mengenai vaksinasi. Apakah perspektif Islam mengenainya? J: Ada yang cuba berbahas bahawa vaksin tidak ada pada zaman Nabi SAW. Mereka tersilap dalam pemahaman dan penghujahan. Perkembangan tamadun Islam memperlihatkan bagaimana saintis dan pakar perubatan Islam menghasilkan teknik perubatan. Nama besar seperti Ibn Sina tidak asing lagi dalam dunia perubatan. Perkembangan moden memperlihatkan usaha mencari ubat dan vaksin yang efektif diteruskan. Ia adalah bentuk ikhtiar yang perlu kita lakukan. Dalam Islam, ikhtiar adalah wajib dan umat Islam tidak boleh menyerah diri tanpa usaha. Usaha itu penting dan dalam hal COVID-19, ia sampai tahap wajib untuk mengelakkan penularan jangkitan lebih besar. S: Bagaimana PUM dapat membantu umat Islam memahami isu berkaitan vaksinasi ini? J: PUM berharap rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam menghormati keputusan muzakarah dan dapat mengikut nasihat diberikan tanpa rasa was-was. Muzakarah ini menghimpunkan pandangan mufti dan agamawan. Kerajaan pula perlu melipatgandakan usaha memberi penerangan kepada rakyat. Ia boleh dilakukan melalui medium media cetak atau media elektronik dan stesen penyiaran yang ada. Jemputlah pakar dan asatizah untuk menyampaikan pandangan mereka yang bertepatan dengan pandangan 'jumhur', terutama dalam bab vaksin ini. S: Perlukah diwujudkan organisasi khusus menguruskan isu vaksinasi dan isu halal haram dalam bidang kesihatan dan perubatan? J: Kami berasakan institusi dan agensi kerajaan yang ada sudah mencukupi, cuma usaha perlu dilipat gandakan dan adakan libat urus dengan badan bukan kerajaan (NGO). Usaha libat urus ini perlu membabitkan pelbagai wakil daripada seluruh lapisan masyarakat. Usaha ini perlu dilakukan secara tersusun kerana 'sesuatu kebenaran yang tidak tersusun itu akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun'. 'Gubal peraturan khusus tangani gerakan antivaksin' Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh S" Bagaimana mahu mengatasi kebimbangan umum mengenai isu halal haram dan keselamatan vaksin, ditambah pula dengan adanya gerakan antivaksin? J: Apabila melihat perbualan antivaksin, mereka buat pelbagai tohmahan dan silap tuduhan mengenai keperluan serta keselamatan vaksin. Jika melihat sejarah vaksin, ia dianggap sebagai pengelak kebanyakan penyakit berjangkit utama dalam kalangan manusia, terutama kanak-kanak. Begitu juga dengan COVID-19. Wabak ini walaupun dituduh sebagai penyakit hasil makmal dan diguna untuk menimbulkan konflik, isunya ia sangat mudah berjangkit dan berupaya menyebabkan kematian. Jadi, sudah tentu, pelbagai syarikat farmaseutikal berlumba-lumba menghasilkan vaksin. Kerajaan dan pakar kesihatan, pakar perubatan serta virologi harus sentiasa memberi kenyataan tidak bercanggah untuk menyokong kepentingan vaksin ini kepada manusia umumnya. Ini termasuk bagaimana hasil kajian fasa ketiga vaksin, jumlah manusia yang menerimanya, kesan sampingan yang boleh berlaku supaya pertimbangan oleh masyarakat menjadi telus serta diterima umum. Hasil ujian vaksin dari luar negara juga harus diteliti untuk kita cakna, bukan saja mengenai kejayaan, tetapi juga isu kegagalannya, jika ada. S: Apa cara terbaik untuk menangani salah faham umum mengenai vaksinasi? J: Selain ilmu dan pengetahuan tambahan diberikan pakar terbabit, perlu juga ada kawalan media supaya tidak berleluasa tohmahan dan pendapat antivaksin yang menyebarkan agenda mereka. Walaupun wujud keraguan, bagus untuk diteliti, disemak atau dinilai data menyeluruh mengenai kesan sampingan bersama keberkesanan dan kos vaksin perlu dihebahkan untuk ketelusan. Contohnya, penyebab kematian enam orang yang mengambil ujian vaksin COVID-19 Pfizer sebelum ini, sebenarnya tiada kaitan dengan pemberian vaksin. Pemberian ilmu vaksin ini juga patut diturunkan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk guru sekolah, ustaz, imam dan sebagainya kerana mereka orang paling rapat dengan masyarakat. S: Mengenai kumpulan antivaksin, apa sebenarnya yang mendorong gerakan mereka? J: Kumpulan antivaksin secara umum terpengaruh dengan sumbang saran yang berpunca daripada maklumat tidak tepat. Hasilnya, orang ramai terpengaruh dan meningkatkan ketidakpatuhan kepada vaksinasi. Perkara sama berlaku kepada penyakit difteria (menghalang kesukaran pernafasan akut/difteria), HPV (menghalang kanser pangkal rahim), polio (menghalang lemahan kaki polio) dan tetanus (melawan kancing gigi). Oleh kerana vaksin COVID-19 baru dicuba, sudah tentu wujud persoalan dan keraguan berkaitannya. Jadi, peranan ahli bidang dan juga komuniti perlu untuk membantu agenda vaksin supaya kebanyakan rakyat terlindung. Bagaimanapun, vaksin ini juga ada pelbagai. Jadi, tugas kerajaan memastikan vaksin diterima Malaysia adalah yang terbaik dari segi kurang kesan sampingannya, berkesan terhadap COVID-19 dan kos yang sesuai atau tidak terlalu mahal. S: Bagaimana gerakan antivaksin boleh disekat dan perlukah kita ada undang-undang khusus untuk tujuan itu? J: Perlu ada agensi menghalang penyebaran berita tidak betul, terutama bila mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan awam. Ini termasuk penyebaran fitnah dan ideologi yang tidak sihat berkaitan kesihatan umum. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kumpulan antivaksin secara umum adalah antara 10 ancaman kepada aspek kesihatan ketika ini bagi menangani COVID-19. Antara kaitan vaksin dikhuatiri kumpulan antivaksin ialah autisme dan kaitan pemberian vaksin MMR (Mumps, Measles, Rubella). Antara negara yang memikirkan untuk menyediakan undang-undang terhadap gerakan antivaksin ialah United Kingdom (UK). Malaysia juga perlu mengambil pendekatan mewujudkan undang-undang khusus, bukan saja untuk menangani kumpulan antivaksin, tetapi juga kumpulan yang menyebarkan cara rawatan atau khidmat kurang sesuai seperti 'doula'. Malaysia boleh menjadi perintis dalam hal ini. S: Mengenai vaksin COVID-19, mungkin ada kebimbangan sering dibangkitkan? J: Rata-rata kebimbangan mengenai vaksin baharu ini ialah teori konspirasi mendakwa ia hasil keluaran pihak tertentu untuk memusnahkan DNA dan 'mengawal' manusia. Untuk mengatasi kebimbangan ini, rakyat perlu mengkaji sendiri vaksin ini daripada pakar, termasuk pakar perubatan Islam, bukan percaya sepenuhnya kata-kata dan tuduhan yang berleluasa sekarang. Ini kerana ada penulisan negatif bukan daripada yang pakar dalam bidang berkenaan, sebaliknya diputar-belit dan tiada data asas. Selain itu, kesan sampingan yang ditakuti, terutama gangguan saraf, sawan, demam dan kematian, tetapi tidak semua kejadian ini berkait dengan vaksin, kadang-kala berlaku secara rawak dan kebetulan (walaupun tidak menerima apa-apa vaksin). S: Apakah yang dibimbangi pakar kesihatan sendiri apabila vaksin COVID-19 mula diterima Malaysia pada suku pertama tahun depan? J: Kita bimbang kesan sampingan yang boleh terjadi, selain keberkesanan vaksin bagi jangka panjang. Pada masa ini, dikatakan dua dos adalah perlu dan diharap dapat mengelak jangkitan COVID-19 kedua (reinfection), akhirnya dapat menyekat transmisi apabila lebih 70 peratus penduduk sudah disuntik vaksin. Isu lain dikhuatirkan ialah bagaimana vaksin dapat disampaikan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman, selain bagaimana pengagihan serta pemberian vaksin kepada warga asing di negara ini. Adakah kos vaksinasi ditanggung insurans perubatan atau majikan atau mereka sendiri yang bertanggungjawab ke atas kosnya. Sumber: bharian.com.my (27 Disember 2020)
Vaksin COVID-19 Ikhtiar Halang Mudarat Lebih Besar
Kekejaman Pengganas Komunis di Tanah Melayu
Kekejaman Pengganas Komunis di Tanah Melayu
Norma Baharu Dalam Kehidupan Masyarakat
Norma Baharu Dalam Kehidupan Masyarakat
More Articles...
news
Penyerahan Sijil Penghargaan PDRM
Penyerahan Sijil Penghargaan PDRM
04 Disember 2020 - Naib Canselor UPM, YBhg. Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman telah menyerahkan Sijil Penghargaan PDRM kepada 6 orang anggota Polis Bantuan yang telah berjaya menangkap seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat ASP pada 28 Oktober 2020 yang lalu bertempat di Pintu 1 (Anjung Putra). Kesemua anggota yang terlibat ialah:- 1. Kpl/PB Siti Aida Mustakim 2. L/Kpl/PB Nuarul Hakim Mohd Khalid 3. L/Kpl/PB Raja Murugan A/L Muniandy 4. L/Kpl/PB Marhafizal Martni 5. Konst/PB Ammar Ahmad Mazian 6. Konst/PB Muhammad Russ Imann Tasriffin Turut hadir bersama Pengarah Keselamatan, YDH ACP Azlan Abu. Tahniah diucapkan kepada semua penerima semoga ianya menjadi pembakar semangat supaya terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam menjalankan tugas.
announcement
No quotation.


FURTHER INFORMATION: http://etender.upm.edu.my

No job vacancy.


FURTHER INFORMATION: SPJOnline

activities
follow us
fb.png
insta.png
W1VMUSCw:18:02