LATAR BELAKANG | BAHAGIAN KESELAMATAN
» MENGENAI KAMI » LATAR BELAKANG

LATAR BELAKANG

Bahagian Keselamatan Universiti Putra Malaysia (dulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia) telah ditubuhkan pada tahun 1978. Sebelum penubuhannya pada tahun 1978, Bahagian Keselamatan telah menempuh dua era sejarah yang penting, pertama semasa Kolej Pertanian Malaya (sebelum 1971) dan kedua selepas penubuhan Universiti Pertanian Malaysia.

Semasa Kolej Pertanian Malaya

Pada ketika itu, Pengawal Keselamatan dikenali sebagai “jaga”. Mereka dilantik daripada kalangan pekerja kolej yang terdiri daripada pekerja sambilan, pencuci, pemandu dan juga buruh am. Bilangan jaga pada ketika itu ialah seramai 10 anggota dan diselia oleh seorang mandur. Unit Keselamatan tidaklah mempunyai struktur yang tersusun dan pentadbiranya diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Ladang. Tugas-tugas yang dijalankan pada ketika itu lebih tertumpu kepada pengawalan hasil ladang dan mengawal di pondok kawalan.

Semasa Universiti Pertanian Malaysia

Ketika penubuhan Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1971, jawatan "jaga" yang dahulunya diwujudkan semasa Kolej Pertanian Malaya, telah diserapkan ke dalam perkhidmatan universiti. Urusan pentadbiran Unit Keselamatan masih lagi diletakkan di bawah Bahagian Ladang. Pada tahun 1974, Unit Keselamatan telah diperkemaskan dan diketuai oleh seorang Pegawai Keselamatan. Jawatan jaga yang diwujudkan  telah digantikan dengan jawatan Pengawal Kampus. Pada tahun 1975, jawatan Pengawal Kampus telah dimansuhkan dan jawatan Pengawal Keselamatan telah diwujudkan. Bilangan anggota pada ketika itu telah meningkat seramai 40 anggota. Serentak dengan itu juga, lima orang anggota keselamatan telah dinaikkan pangkat kepada Pengawal Keselamatan Tingkatan Kanan. Pada tahun 1978, Universiti Pertanian Malaysia telah menubuhkan Bahagian Keselamatan selaras dengan perkembangan universiti. Pentadbiran BahagianKeselamatan telah berpindah kepada Bahagian Pembangunan. Sejajar dengan perkembangan ini, seorang Pengarah Keselamatan telah dilantik dan kekuatan Bahagian Keselamatan telah meningkat kepada seorang Pengarah, seorang Pegawai Keselamatan, tiga orang Penolong Pegawai Keselamatan dan 185 Anggota Keselamatan.   Kini Bahagian Keselamatan Universiti Putra Malaysia telah turut berkembang sejajar dengan perkembangan universiti. Pentadbiran bahagian ini telah dimantapkan lagi dengan penambahan jawatan Pegawai Keselamatan dan Penolong Pegawai Tadbir. Dalam usaha bahagian ini merealisasikan matlamat 4 dalam Pelan Strategi universiti dengan usaha yang gigih, Bahagian Keselamatan Universiti Putra Malaysia telah berjaya memperolehi persijilan MS ISO 9001: 2000 pada 19 September 2003. Bahagian Keselamatan juga merupakan satu-satunya entiti perkhidmatan yang pertama memperolehi persijilan MS ISO 9001:2000.

Kemaskini:: 09/06/2017 [miorazham]

PERKONGSIAN MEDIA

B1566385780