Orang Ramai Perlu Diperjelas Had Hak Pertahankan Diri | SECURITY DIVISION
» ARTICLE » Orang Ramai Perlu Diperjelas Had Hak Pertahankan Diri

Orang Ramai Perlu Diperjelas Had Hak Pertahankan Diri

PADA tahun 2016 kita dikejutkan dengan nasib Mohammad Zulkifli Ismail, 50, yang ditahan atas dakwaan membunuh kerana menikam mati seorang perompak yang juga penagih dadah, yang dikatakan memasuki kediamannya di Kerteh, Terengganu, awal Disember lalu.

Zulkifli pada mulanya dilaporkan ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, namun ditukar kepada Seksyen 304 kanun yang sama kerana membunuh tanpa niat, dan dibenarkan diikat jamin RM15,000.

Justeru, bukanlah sesuatu yang luar biasa isu ini hangat diperdebatkan di media sosial, malah akaun Facebook dengan nama Selamatkan Zulkifli diwujudkan 29 Disember lalu sebagai tanda sokongan, selain beberapa hastag seperti #selamatkanzulkifli dan #zulkifliherorakyat.

Dari segi perundangan, memang ini prosedur biasa dalam kes seumpama ini dan Zulkifli perlu mengupah peguam bagi membuktikan beliau hanya mempertahankan diri, bila kesnya disebut di mahkamah pada 24 Januari ini dan seterusnya tarikh perbicaraan ditetapkan.

Isu di sini bukan sama ada Zulkifli akhirnya mendapat keadilan atau tidak, sebaliknya umum lebih mempersoalkan kenapa seorang suami dan bapa yang mempertahankan keluarga serta harta bendanya diperlakukan seperti penjenayah tegar.

Hakikat bahawa Zulkifli hanya mengusahakan warung dan adalah bapa kepada tiga orang anak, termasuk seorang yang difahamkan menghidap autisme, cukup bagi menunjukkan beliau bukan orang berada, sekali gus menjadikan usaha membela diri sebagai beban yang mungkin tidak mampu digalas.

Di manakah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lantang memperjuangkan hak kemanusiaan, malah lebih menyedihkan kerana Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) langsung tidak bersuara dalam perkara ini, biarpun memberi penjelasan.

Kenyataan Pengerusi Majlis Peguam, Steven Thiru, bahawa pihaknya perlukan fakta kes itu sebelum memberi komen, adalah sesuatu yang amat memalukan kerana badan berkenaan terbukti lantas bersuara dengan lantang sebaik sahaja isu kemanusiaan lain berbangkit.

Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang menegur sikap membisu Majlis Peguam pula tidak lebih daripada 'mengatakan dulang, paku serpih' kerana kenyataannya lebih bersifat mempertahankan orang yang tidak patut dibela.

Ketika mengulas mengenai kes Zulkifli, beliau dipetik berkata, ramai orang tidak tahu setakat mana had hak mempertahankan diri. Seksyen 99, Kanun Keseksaan menjelaskan setakat mana hak mempertahankan diri yang boleh digunakan oleh orang ramai.

Merujuk kepada ungkapan Khalid: "Hak mempertahankan diri itu bukan mutlak.. jika ada orang nak curi atau nak samun, kita tidak boleh bunuh mereka sewenang-wenangnya," beliau sepatutnya menghuraikan lebih lanjut setakat mana seseorang boleh mempertahankan diri apabila nyawa sendiri terancam. 

Sepatutnya, apabila menyentuh isu ini, beliau wajar turut memperjelaskan Seksyen 100 Kanun Keseksaan mengenai bila wujudnya hak pertahanan persendirian mengenai tubuh termasuk menyebabkan kematian, bukan hanya Seksyen 99 yang menghuraikan perbuatan yang tiada hak pertahanan persendirian terhadapnya.

Antara sebab pertahan diri

Seksyen 100 Kanun Keseksaan menyenaraikan, antara sebab yang boleh mempertahankan hak ialah:

Serangan yang munasabah menyebabkan ketakutan bahawa kematian akibat daripada serangan jika hak pertahanan tersebut tidak dijalankan

Serangan yang munasabah menyebabkan ketakutan bahawa cedera parah akibat dari serangan itu jika hak pertahanan tersebut tidak dijalankan

Sesuatu serangan dengan niat hendak merogol

Sesuatu serangan dengan niat memuaskan nafsu luar tabii

Sesuatu serangan dengan niat menculik atau melarikan orang

Sesuatu serangan dengan niat hendak mengurung orang dengan salah dalam keadaan yang munasabah menyebabkan ia takut bahawa ia tidak dapat boleh mendapat pertolongan pihak berkuasa bagi kelepasannya.

Isu sama ada tindakan seseorang itu bertepatan dengan huraian di bawah Seksyen 99 atau Seksyen 100 Kanun Keseksaan biarlah mahkamah yang tentukan tetapi orang ramai harus dimaklumkan mengenai wujudnya undang-undang sebegini supaya mereka tahu hak masing-masing jika berdepan dugaan seumpamanya.  

Nasib yang dialami Zulkifli sebenarnya bukan isu baharu. Sebelum ini, pada 23 Disember 2012 di Perak, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas S Kalaichelvi, 24, seorang suri rumah, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba memperkosanya.

Hakim kes berkenaan, Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani, memerintahkan ibu kepada dua anak yang mengandung anak ketiga ketika kejadian itu, menjalani hukuman selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian M Kumaran, 29, di dalam rumahnya di Taman Bistari, Ayer Tawar, Manjung antara jam 3 hingga 3.30 pagi pada 7 Januari 2010. 

Mengikut fakta kes, perogol itu menceroboh rumah Kalaichelvi ketika suaminya tiada di rumah. Wanita yang dikasari lelaki itu dapat melarikan diri ke dapur dan sempat mencampakkan serbuk cili ke mata perogol. Meskipun matanya dilumur serbuk cili, lelaki itu masih cuba merogol Kalaichelvi, membuatkan wanita itu mencapai sebatang besi dan memukul kepala lelaki terbabit, sekali gus menyebabkan kematiannya.

Hakim Zainal Adzam dalam penghakiman bertulisnya berkata, Kalaichelvi sepatutnya dihukum lebih berat kerana melakukan pembunuhan kejam terhadap perogol itu.

Dalam kes berlainan, pada Oktober 2012, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap dua beradik warga Indonesia, Frans Hiu, 22, dan Dharry Frully Hiu, 20, selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki tempatan yang memecah masuk sebuah rumah kedai di Sepang, Selangor pada 2010.

Berdasarkan keterangan saksi, Frans dan Dharry bersama seorang lagi lelaki tempatan sedang tidur dalam satu bilik di tingkat atas rumah kedai dan tersedar apabila seorang pencuri R Khartic, terjatuh ke dalam bilik apabila cuba memasuki rumah kedai itu menerusi siling.

Frans berjaya menangkap Khartic dan memeluknya dengan kuat dari belakang sehingga mangsa tidak dapat bernafas dan meninggal dunia.

Bertindak ikut naluri

Ketika kes ini berjalan, umum mempersoalkan rasional menghukum seseorang kerana menyebabkan kematian seorang pencuri dengan tidak sengaja apabila hanya bertindak mengikut naluri mahu mempertahankan harta benda.

Jika dilihat ketiga-tiga kes, ia membabitkan masyarakat marhaen yang yang kurang berada dan lazimnya patuh pada undang-undang, malah seboleh-bolehnya mengelak sama sekali daripada menjejakkan kaki di balai polis, namun masih menjadi mangsa di sisi undang-undang akibat sesuatu di luar kawalan mereka.

Ini membawa kita kepada satu lagi kes pada Jun 2003, apabila seorang peguam terkenal, Balwant Singh, berusia 81 tahun ketika itu, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan membunuh R Gobala Krishnan, 33, di Jalan Maarof, Bangsar, pada 4.30 petang, 7 Jun 2002.

Saksi dalam kes itu memberi keterangan mereka melihat tertuduh dan si mati bertengkar dan melihat si mati memegang sebatang kayu yang kecil dan kemudian melihat tertuduh melepaskan satu tembakan ke udara.

Tindakan itu menyebabkan si mati berundur beberapa langkah tetapi masih berada di tempat berkenaan dan tertuduh mengacu pistol ke arah si mati dan melepaskan satu lagi das tembakan ke arah si mati.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat penghakiman bahawa Balwant bertindak bagi mempertahankan diri apabila beliau menembak Gobala yang mahu menyerangnya dengan sebatang kayu.

Dalam kes berkenaan, peguam veteran itu bukan sahaja dibebaskan sebaliknya adalah satu-satunya individu dalam sejarah perundangan negara yang dibenarkan diikat jamin bagi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sememangnya tidak dibenarkan diikat jamin.

Sumber: bharian.com.my (9 Januari 2016)

Date of Input: 30/09/2019 | Updated: 15/10/2019 | miorazham

MEDIA SHARING

SECURITY DIVISION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6114
03-9769 7930
C1574363381