Perpaduan Kaum Manfaat Besar Kepada Negara | SECURITY DIVISION
» ARTICLE » Perpaduan Kaum Manfaat Besar Kepada Negara

Perpaduan Kaum Manfaat Besar Kepada Negara

 

Bukan mudah menyatukan rakyat berbeza kaum, agama, latar belakang, fahaman dan cara hidup namun Malaysia boleh berbangga kerana masyarakatnya hidup dalam keadaan aman, stabil dan boleh bersatu dalam pelbagai perkara.

Walaupun sarat dengan kepelbagaian termasuk budaya dan bahasa tetapi ia tidak menjadi halangan untuk mereka bersatu dan bertoleransi dalam kehidupan seharian, yang jelas memberi manfaat besar kepada negara.

Sikap rakyat yang mencintai suasana harmoni, saling menghormati dan menghargai keunikan menjadi penyumbang kepada kejayaan ini.

 

BANGGA JADI ANAK MALAYSIA

“Perpaduan yang dimiliki wajar menjadi kebanggaan semua pihak… kerajaan dan sektor swasta boleh mengkomersilkan kelebihan ini untuk menarik masyarakat antarabangsa datang dan menyaksikan sendiri ‘wajah’ Malaysia,” kata Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Dr Hairol Anuar Mak Din kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, tanggungjawab menyubur perpaduan bukan semata-mata terletak di bahu kerajaan sebaliknya seluruh lapisan masyarakat termasuklah dengan bersikap lebih terbuka untuk mengenali antara satu sama lain dan mengelak perkara remeh yang boleh menghalang kepada usaha penyatuan.

“Berapa ramai dalam kalangan kita yang mempunyai kenalan dari latar belakang kaum dan agama yang berbeza Boleh periksa semula senarai di telefon bimbit dan media sosial seperti Facebook, Instagram atau Twitter.

“Berapa ramai pula yang faham akan pantang larang serta kepercayaan dan pegangan agama yang dianuti oleh kaum dan etnik di Malaysia

“Inilah antara perkara yang kita perlu ambil maklum supaya kita lebih mengenali serta ‘dekat’ antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama.

Hairol Anuar berkata sistem pendidikan peringkat rendah dan menengah yang ‘terpisah’ berasaskan kaum menjadikan universiti sebagai medium terbaik untuk menyemai kefahaman berhubung kepentingan hubungan etnik di Malaysia.

Beliau berkata golongan muda khususnya harus diberi kefahaman bahawa sebagai rakyat daripada berbilang etnik, mereka perlulah saling bergantung dan melengkapi satu sama lain. “Inilah kelebihan yang tidak ada pada mana-mana negara lain,” katanya.

 

KEKAL, JAGA PERPADUAN

Pemimpin Pelajar Universiti Malaya (UM) yang juga Felo Perdana di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Pejabat Perdana Menteri, Naznur Farahani Md Yusof pula berpendapat kaedah serta tujuan rakyat hari ini bersatu mungkin berbeza berbanding ketika negara meraih kemerdekaan pada 62 tahun lepas.

Ini kerana matlamat rakyat dahulu bersatu adalah untuk berjuang mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan negara.

“Hari ini, tujuan kita bersatu mungkin tidak lagi sama penyebabnya. Namun, yang penting kita semua tanpa mengira bangsa, agama mahupun peringkat umur bersatu demi menjaga keamanan dan keharmonian yang ada.

“Kita mesti kekalkan apa yang kita ada, jaga dan lindungi sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas sesi Dialog Pupuk Perpaduan dan Perkasakan Belia Malaysia anjuran Projek57 dengan kerjasama UM dan Kumpulan Bekas Penjawat Awam Malaysia (G25) di Galeri Seni universiti itu baru-baru ini.

Naznur Farahani menambah masyarakat terutama golongan belia harus memanfaatkan platform media sosial sebagai medium untuk memupuk perpaduan antara kaum.

Melalui konsep ‘teknologi di hujung jari´, beliau berkata banyak gerakan positif boleh digembleng generasi muda bagi membentuk Malaysia yang lebih baik dan matang demi kemakmuran bersama.

“Kita bertuah kerana dilahirkan dalam dunia teknologi khususnya dengan media sosial yang sentiasa ada ‘di tangan’ tanpa perlu bersusah payah seperti generasi dahulu. Ia umpama ‘hadiah’ jadi, gunakanlah kelebihan ini sebaiknya dalam mengajak kepada kebaikan.

“Dengan kuasa media sosial, apa yang kita kongsikan boleh sampai ke seluruh pelosok dunia. Jika baik yang dikongsikan, Insya-Allah, baiklah hasilnya tetapi jika keburukan dan api kebencian yang disebarkan maka buruk jugalah akibatnya kepada penyatuan rakyat negara ini,” katanya.

Sambil mengakui bahawa pemilihan kata-kata yang sesuai di media sosial mampu menyumbang kepada suasana harmoni sekali gus mempupuk perpaduan masyarakat berbilang bangsa di negara ini, beliau berkata ia juga boleh mengekang sikap segelintir masyarakat yang gemar membuat kesimpulan umum terhadap kaum tertentu.

“Apabila marah kepada seseorang, ada antara kita yang cenderung untuk ‘melepaskan geram’ di media sosial sehingga ada ketikanya mengaitkan dengan kaum tertentu. Marah kepada individu tetapi ‘dipanjangkan’ pula dengan melabel kaum… janganlah kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’.

“Pemilihan kata-kata ada kalanya menjadi punca (masalah). Jika kita lebih sensitif, berhati-hati dan tahu peranan, tanggungjawab serta saling hormat menghormati pasti lebih mudah menjaga hubungan berbilang bangsa dan agama,” katanya.

 

ERTI PERPADUAN

Sementara itu, graduan perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga pengacara dan penerbit rancangan, Shangkaree Nadarajan, berkata generasi hari ini tidak mempunyai masalah memupuk perpaduan malah silaturrahim antara kaum telah lama terbina.

Beliau berkata setiap kaum boleh bekerjasama, makan dan minum bersama-sama, duduk berkongsi pelbagai perkara dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Namun, tindakan segelintir ahli politik yang tidak memahami cara pemikiran dan kehendak orang muda, telah mewujudkan jurang pemisah antara kaum.

“Tiada lagi istilah memupuk perpaduan sebab generasi sekarang faham apa itu perpaduan. Kita lihat dalam bidang hiburan misalnya, tiada pemisah, semua bersatu. Kami faham erti perpaduan sampai dah jadi ´buta warna´ tak nampak apa bezanya (antara kaum).

“Tetapi ada ahli politik yang menggunakan cara tidak sepatutnya sebagai contoh memainkan sentimen bangsa dan agama. Mereka memupuk fahaman bahawa perlu ada beza dan jurang antara satu kaum dengan kaum lain. Inilah yang perlu dihentikan kerana ia hanya akan memisahkan kita,” katanya.

Pengasas G25 yang juga bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim pula berpendapat masyarakat perlu sentiasa melibatkan belia dan mendengar pandangan mereka.

“Peranan kita adalah sebagai pembimbing yang sedia mendengar jika mereka mahu memanfaatkan pengalaman kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa generasi muda supaya memperbanyak aktiviti yang melibatkan semua kaum bagi menyemai semangat perpaduan.

Antaranya dengan berdebat yang merupakan ruang terbaik bagi golongan muda untuk menyuarakan pendapat.

“Beri ruang dan peluang untuk anak muda bersuara. Pendapat mungkin berbeza dan tidak mungkin semua akan bersetuju dengan perkara yang sama kerana masing-masing ada pendapat sendiri.

“Tetapi, dengan perbezaan pendapat itu kita mungkin akan dapat penyelesaian terbaik,” katanya sambil memberitahu perdebatan isu politik boleh menyumbang kepada meningkatkan pengetahuan dan kematangan anak muda.


Sumber: Bernama.com (30 September 2019)

Date of Input: 13/01/2020 | Updated: 13/01/2020 | miorazham

MEDIA SHARING

SECURITY DIVISION
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6114
03-9769 7930
C1593955424